Jom follow blog nie..nnti i follow u gak...

Tuesday, 13 July 2010

Rona Di Danau Hati

http://naluri-ini.blogspot.com/2010/06/pengumuman-kontes-penulisan-kreatif.html

Rona Di Danau Hati

Atikah menyapu peluh di dahi dengan belakang tangannya. Dengan langkah longlai dia menghampiri pintu pagar rumah sambil tercungap-cungap. Sudah menjadi rutin pada hujung minggu dia akan keluar berjoging. Selalunya dia ditemani oleh rakan serumah, tetapi hari ini dia melakukan aktiviti itu berseorangan berikutan rakannya itu pulang ke kampung. Peti surat diperiksa sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah. Dia menghela nafas sambil melabuhkan punggung di atas sofa ruangtamu. Satu persatu kepingan surat yang berada di tangannya diteliti. Matanya tertumpu pada sampul surat berbunga dengan setem tertera tulisan London. Dengan jelas tertulis namanya sebagai penerima. Dengan penuh rasa teruja dia membuka sampul surat berkenaan.

----------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum...

Tatkala dikau membaca isi kandungan warkah ini, diriku sudah bergelar seorang suami. Tidak perlu lagi aku meneruskan coretan. Hanya sekeping foto pengganti diri sebagai bukti. Hanya kemaafan kupohon darimu. Kuharap kau mengerti.

Yang benar,
Shahrizal

----------------------------------------------------------------------

Matanya kian berkaca saat merenung gambar persandingan seorang lelaki yang selama ini bertakhta di hatinya bersama wanita lain. Dia bingkas menuju ke arah bilik. Berdentum pintu bilik saat dia menutupnya. Dia duduk sambil memeluk tubuh di penjuru sudut bilik kecil itu. Mata dipejamkan sambil dia merapatkan dahi ke lutut. Tidak tertahan lagi perasaannya. Berlinangan airmata seperti tidak mahu berhenti bercucuran. Ternyata sekeping nota ringkas yang baru dibaca itu benar-benar telah melukakan sekeping hati yang ampuh. Sekeping gambar yang tadinya berkeadaan sempurna kini bertaburan di atas lantai. Bersepah dicarik-carik oleh Atikah dengan segumpal perasaan amarah. Dia keliru dengan perasaannya sendiri. Bercampur-baur sentimen yang dirasai olehnya. Adakah dia hanya perlu akur dengan kekecewaan ini dan menutup segenap ruang hatinya dari perasaan cinta atau mungkinkah suara gemersik sang kekasih bisa bergema kembali.

**********************************************
“IKa… Ika…” ketukan demi ketukan bergema di ruangan tamu. Biliknya begitu berhampiran dengan ruang tamu rumah setingkat itu.

Atikah yang sedang terlena, terpisat-pisat. Terasa matanya terlalu pedih. Fikirannya kosong. Entah mengapa dunianya terasa lain. Seakan terlupa dia pada kisah duka yang telah menyentap kebahagiaannya sebentar tadi. Dia cuba bangun, terasa kepalanya berat pula.

Mata Atikah berbalam lagi... kenangan yang baru sahaja beberapa jam yang lalu berlaku terlintas di dalam fikirannya. Serentak itu juga, matanya terpaku pada carikan kertas yang bertaburan di atas lantai. Sungguh! Jika dia punya kudrat, juga punya kuasa, mahu sahaja dia melenyapkan memori duka itu.

Linangan air mata tidak mampu dia tahan lagi. Bagaikan butiran manik-manik halus bertaburan jatuh satu persatu. Mengapa? Mengapa semua ini harus menimpa dirinya? Tegar lelaki yang amat dikasihinya itu membuang cintanya begitu sahaja? Bagaikan ditikam dengan belati, nyawanya hilang seketika. Kejamnya manusia yang bernama Sharizal!

”Sampai hati abang buat Ika macam ini... mana pergi janji-janji abang dulu? Ika benci abang! Ika benci!” serentak itu, kepingan kaca bertaburan di atas lantai. Bingkai gambar yang cantik pecah berderai. Potret seorang lelaki yang sedang tersenyum itu terdampar di lantai. Atikah meraung.

”Ika... Ika... buka pintu ini. Jangan buat aku takut Ika... kau kenapa?” bunyi kaca yang jatuh terhempas itu sangat mengejutkan Intan. Di dalam rumah itu mereka tinggal bertiga. Murni pulang ke kampung.

Sepi... hanya tangisan Atikah sahaja yang bergema di ruangan kecil itu. Sementara Intan pula hanya mendengar sayup-sayup tangisan rakannya itu.

”Ika... jangan buat aku risau, Ika. Bukalah pintu ini. Dari tadi kau tak keluar dari bilik. Ika...” pujuk Intan lagi.

”Ya Allah... kenapa dengan Ika ini?” soal Intan pada dirinya.

Sejak dari tadi dia menanti rakan serumahnya itu. Dia gusar kerana sejak dia pulang dari pasar, Atikah tidak keluar dari biliknya. Kebiasaannya, mereka akan bersarapan bersama-sama. Begitu rutin mereka di hujung minggu. Jika tidak pulang ke kampung, mereka lebih senang duduk di rumah sahaja.

Intan berjalan mundar mandir di depan pintu bilik Atikah. Hatinya benar-benar rungsing. Tidak putus-putus doa di dalam hatinya bergema. Moga rakannya itu selamat...


Setelah puas menangis, Atikah bangkit. Dia mengorak langkah satu persatu dengan gerakan yang amat perlahan sekali. Pintu biliknya dibuka. Setelah beberapa jam mengurungkan diri, baru kini perutnya terasa lapar. Tekak pula terasa haus.

”Ika...”

Tegur Intan sebaik sahaja dia terpandang kelibat Atikah keluar dari biliknya. Atikah berhenti melangkah. Matanya dialih ke arah Intan yang sedang berdiri di ruang tamu. Nampak jelas kerisauan di wajah rakannya itu. Tanpa banyak bicara, Atikah meluru ke arah Intan.

”Intan.... tolong aku Intan...” buat sekian kalinya, Atikah menghemburkan air matanya lagi.

Intan yang panik pada mula terus mendakap dan mengelus lembut belakang tubuh Atikah.

”Kenapa, Ika? Kau sakit ke?” pujuk Intan lembut. Tangisan Atika makin kuat.

”Kenapa dia tinggalkan aku, Intan? Apa dosa aku pada dia? Kenapa dia buat aku macam ini?” Tersekat-sekat Atikah meluahkan perasaannya. Berselang seli pula dengan suara tangis yang mendayu-dayu. Hiba sungguh Intan mendengarnya.

”Siapa, Ika? Siapa yang buat kau menangis macam ini?” desak Intan.

Pelukan mereka terlerai. Intan memimpin tangan Atikah. Mereka melabuhkan punggung di Sofa. Dan kemudian menghenyakkan tubuh mereka di dada Sofa. Atikah bagaikan tenggelam dengan perasaannya sendiri. Tangisannya tidak reda lagi.

”Rizal dah tinggalkan aku, Intan... dia... dia... dia dah kahwin. Apa dosa aku sampai dia tergamak buat aku macam ini?“

Intan sangat terkejut. Wajahnya berubah, dia juga seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya itu. Wajah Atikah dipandangnya tepat.

“Kau ada bukti ke?” soal Intan. Wajahnya benar-benar lain.

Atikah mengangguk lesu. Dia sudah tidak berdaya lagi. Hari-harinya bagaikan kelam. Dia tidak mampu membendung perasaan sedihnya. Tidak semena-mena Atikah mendengar suara halus Intan sedang menangis. Atikah menoleh ke arah Intan. Bersungguh Intan menangis kala itu.

”Kau pun sedih, Intan?” soal Atikah. Kala itu bagaikan tiada lagi air mata yang hendak dialirkan. Dia sudah puas menangis beberapa jam yang lalu.

Intan tersentak, air mata diseka. ”Aku... aku sedih sebab kawan baik aku dikecewakan macam ini. Sampai hati dia kecewakan kau.” Kata Intan tersekat-sekat. Tubuh Atikah terus dirangkulnya.

“Entahlah Intan… sia-sia kesetiaan aku selama ini. Tak cukup lagi ke, hampir lima tahun aku setia menanti kepulangan dia. Tak cukup lagi ke, pengorbanan aku selama ini? Apa lagi yang dia mahukan?“

Atikah cuba menahan tangisan tapi dia tidak mampu. Akhirnya air mata yang disangka telah kering itu mengalir juga akhirnya.

“Bersabarlah… Ika…” mereka menangis sama-sama…

******************************************


Sudah dua bulan peristiwa itu berlaku, Atikah sudah mula dapat menerima hakikat, Shahrizal tidak mungkin jadi miliknya lagi. Perasaan sedihnya juga sudah dapat dikawal. Saban hari dia meniup semangatnya agar tidak menjadi lemah. Ya! Dia harus kuat. Kekecewaan ini menjadi pemangkin untuk dia terus maju.

”Bunga bukan sekuntum, kumbang juga bukan seekor...” kata-kata Lutfi itu sering kali bergema di fikirannya. Memang benar! Itulah antara peniup semangatnya untuk terus hidup!

Atikah juga sering menyibukkan dirinya. Kadangkala dia bekerja sehingga lewat malam. Pekerjaannya sebagai Eksekutif Jururancang yang baru sahaja disandangnya itu menuntut pengorbanan masa yang bukan sedikit. Dia terpaksa menyediakan schedule untuk production keesokan harinya.

Intan pula bekerja di bahagian purchasing. Kebiasaannya Intan akan balik tepat pada pukul 6.00 petang. Kesibukan Atikah membuatkan mereka jarang bersembang. Manakal Murni bekerja di syarikat lain. Rakannya yang seorang itu lagi teruk, asyik travel saja. Dalam seminggu dua atau tiga hari sahaja nampak batang hidungnya. Itupun pada hujung minggu.

”Hai Ika... tak balik lagi ke?” tegur Lutfi.

Atikah yang sedang asyik menaip itu tersentak, kemudian dia menggelengkan kepalanya. ”Banyak kerjalah, Lut. Kau dah nak balik ke?” soal Atikah kembali.

Lutfi menarik kerusi yang berada di hadapan Atikah. Dia tidak segera menjawab. Wajah Atikah direnungnya.

”Hello kawan... yang kau tengok muka aku tu, kenapa?” soal Atikah. Lutfi tersengih-sengih.

”Ika... kau perasan tak, kawan kita tu asyik termenung aje. Aku peliklah. Sejak bila pulak dia tukar karektor, ya?” Lutfi membuka bicara setelah mendiamkan diri seketika.

Atikah mengerutkan keningnya. ”Kau cakap pasal siapa ni?” soal Atikah. Dia turut rasa pelik. Siapa pula gerangan insan yang dimaksudkan oleh lelaki di hadapannya itu.

”Intan...” sebaris nama itu keluar dari mulut Lutfi. Makin berkerut kening Atikah.

”Intan?” soal Atikah kembali. Sedikitpun dia tidak perasan perubahan sikap rakan serumahnya itu. Apa yang dia tahu, sejak kebelakangan ini, Intan banyak mengurungkan dirinya di dalam bilik.

”Kau tak perasan ke?” soal Lutfi agak hairan bila mendengar pertanyaan Atikah itu.

”Hehehe... aku... aku sibuk sangatlah. Tak perasan pulak aku dia dah berubah,“ jawab Atikah sambil ketawa kecil.

“Kau tu memang… orang lain kerja juga. Tapi taklah macam engkau. Orang keliling sikitpun kau tak kisah. Bom atom meletop kat tepi kau pun, agaknya baru kau sedar,” sindir Lutfi sambil bergurau.

”Eleh cakap orang. Yang dia tu, kalau dah sehari suntuk kat dalam production, batang hidung kaupun aku tak nampak tau.” balas Atikah kembali. Lutfi yang menyandang jawatan engineer itu tergaru-garu kepalanya. Bibir pula sudah tersenyum lebar.

”Tapi betullah, Ika. Kau cubalah risik-risik Intan tu, kenapa dia diam aje.” Kata Lutfi, kali ini dia serius pula.

“Amboi… risaukan buah hati ya? Yalah.. nanti aku tanyakan ya...” usik Atikah. Mereka sama-sama ketawa.


Sampai sahaja di rumah, Atikah mendengar suara halus menyanyi-nyanyi kecil. Sangat riang sekali bunyinya. Beg tangan serta kunci kereta segera di simpan dalam bilik. Segera Atikah menuju ke dapur.

”Amboi gembiranya hati kawan aku ni... ada apa-apa ke?” tegur Atikah, Intan yang sedang menyiapkan makan malam terkejut.

”Ya Allah... kalau ya pun bagilah salam dulu.” bebel Intan sambil mengurut dadanya.

”Aku dah bagi salam, kau aje yang tak dengar. Wah! Sedapnya bau. Buat perut aku lapar pulak,“ segera periuk hangat itu dibuka. Berkepol-kepol asap keluar dari periuk tersebut.

”Tadi Lutfi tanya aku, kenapa kau muram aje sejak kebelakangan ini. Kau ada masalah ke?” soal Atikah. Ketika itu mereka sedang menghadap makan malam.

Suapan Intan terhenti, bibirnya terus mencebik. ”Alah sibuk betul mamat perasan tu. Aku rimaslah dengan dia, sebab itu aku malas nak layan dia,” Intan memberi alasannya.

”Tak baik kau buat dia macam itu... dia baik apa? Takkan salah dia nak mengurat kau. Kau pun masih solo lagi, kan?” giat Atikah. Atikah sedikit hairan melihat perubahan sikap Intan. Sebelum ini, Intan berkurung dalam bilik, hari ini pula, boleh berlagu riang?

”Aku ini tak macam engkau... kau lainlah semua jantan kau nak layan. Sebab itu Rizal tinggalkan engkau,” tajam menikam sindiran Intan itu.

Bergetar perasaan Atikah tatkala nama itu menyapa gegendang telinganya. Sudah lama dia tidak mendengar nama itu disebut. Sudah lama juga dia cuba memadamkan ingatannya terhadap lelaki itu. Atikah membasuh tangannya. Seleranya sudah mati!

“Ika... aku... aku minta maaf. Aku tak sengaja.“ mohon Intan. Atikah terus berlalu masuk ke dalam biliknya.

Di dalam bilik Atikah termenung. Kata-kata Intan bergema-gema, silih berganti dengan helai tawa. Atikah menekup telinganya.

“Abang sayang Ika... sebab itu kalau boleh abang tak mahu Ika rapat dengan mana-mana lelaki. Abang nak Ika sayang abang sorang.“ Kata-kata Shahrizal suatu ketika dulu bermain di fikirannya.

“Abang... Ika bukan ada apa-apa dengan mereka. Salah ke Ika baik dengan semua orang?” sedikit tersinggung perasaan Atikah saat itu.

”Ika... abang Cuma tak nak kehilangan Ika... dengarlah cakap abang ini. Tolong ya sayang...” itulah ungkapan sebelum Shahrizal berangkat ke luar negara.

Kata-kata itu dipegangnya. Dia sayangkan Shahrizal. Dia juga tidak mahu kehilangan lelaki itu. Sesiapa sahaja ingin rapat dengannya, dia cuba mengelak. Namun dengan Lutfi, dia tidak boleh mengelak lagi. Dia dan Lutfi terpaksa berhubung demi syarikat mereka. Kerja mereka bersangkut paut.

”Berapa kali dah abang pesan? Jangan rapat dengan lelaki lain!“ marah Shahrizal. Ketika itu, Shahrizal cuti panjang. Mereka menghabiskan masa bersama-sama.

Shahrizal berang bila melihat Lutfi mengejutkan Atikah yang sedang membelek anak patung beruang yang besar itu. Apabila Shahrizal nampak Atika berbual mesra dengan Lutfi, api cemburunya semakin membara.

“Abang... dia itu Lutfi, kawan sekerja Ika. Takkan nak berbual dengan diapun tak boleh?“ Atikah cuba membantah. Merah padam wajah Shahrizal menahan marah.

”Ini depan mata abang, Ika berani buat. Entah-entah belakang abang, lebih teruk dari itu,” sembur Shahrizal lagi. Atikah mendengus geram.

”Abang... percayalah. Ika tak ada apa-apa dengan dia. Dia pun tahu Ika dah ada buah hati. Buah hati yang kuat cemburu ini… dia pun tahu Ika keluar dengan abang… takkanlah dia nak tackle Ika pulak. Dia dah ada buah hatilah abang…” Atikah cuba memujuk. Hidung mancung Shahrizal ditariknya. Lengan lelaki itu turut diusapnya.

“Betul?” soal Shahrizal. suaranya sudah semakin mengendur. Atikah mengangguk, lantas tangan diangkatnya.

”Aduss!” Shahrizal menepuk dahinya. ”Abang minta maaf, okey. Abang ni terlalu takut, Ika. Takut Ika disambar orang. Yalah... abang jauh, Ika dekat sini. Abang... abang betul-betul sayangkan Ika...”

”Tipu! Kau penipu!” suara halus keluar dari mulutnya. Atikah memejamkan matanya. Telinganya masih ditutup rapat.

*******************************************

Cutinya dihabis dengan merehatkan dirinya secukup-cukupnya. Dia memilih Pulau Sibu sebagai destinasi. Dia dapat rasakan ketenangan di situ. Pada awalnya, dia telah mengajak Murni untuk bercuti sama. Malangnya rakannya itu sudah mempunyai agenda tersendiri. Syarikatnya telah menghantarnya ke luar negara untuk berkursus.

Sejak peristiwa Intan mengeluarkan kata-kata kesat itu, mereka seakan sudah punya jurang. Intan juga jarang ada di rumah. Ke mana dia pergi, Atikah tidak pernah ambil tahu lagi. Entah mengapa hatinya benar-benar terguris dek kata-kata nista itu. Belum pernah lagi dia melayan mana-mana lelaki lebih dari sepatutnya. Orang menegur, dia akan menjawabnya.

Setelah puas dia berjalan, perutnya terasa lapar pula. Dia pergi ke kafe yang terletak tidak berapa jauh dari tempat penginapannya. Di situ dia memilih tempat yang agak terlindung. Namun dia boleh nampak manusia-manusia yang lalu lalang di situ.

Makanan sudah dipesan. Cermin mata hitam yang dipakainya dinaikkan ke atas kepala. Topi yang menjadi pelindung wajahnya diletak di kerusi yang berada di sebelahnya. Sedang dia leka memerhatikan gelagat manusia, matanya tertumpu kepada sepasang kekasih yang sedang berpegangan tangan. Mereka sedang asyik ketawa.

Wajahnya sudah membahang. Bibirnya bergetar. Beberapa kali matanya dipejam celik agar bayangan yang dia nampak itu hanyalah khayalan belaka. Ya! Dia tidak bermimpi. Masakan di siang hari dia bermimpi pula. Tidak! Lututnya begitu lemah sekali.

Matanya dipejam rapat-rapat. Dia tidak mahu melihat adegan seterusnya. Gelodak di jiwa makin menyesak nafasnya. Air mata pula sudah mula menekan-nekan pundi mata, diminta agar ianya dikeluarkan segera. Tidak! Aku tidak percaya!

Sejak bila? Macam mana? Dan kenapa? Persoalan-persoalan itu silih berganti menyesak fikirannya. Dia benar-benar tidak percaya! Mustahil! Ya terlalu mustahil!

Dan lebih tidak percaya... aura itu semakin dekat dan begitu menghampiri dirinya. Gelak tawa sang teruna dan dara membuatkan jiwanya terbakar. Ya Allah... berikanlah kekuatan padaku... agar aku bisa menghadapi semua ini...

”Cik... silakan menjamu selera,” suara pelayan itu menyentak perasaannya. Matanya dibuka. Senyuman palsu dihadiah olehnya.

”Alah abang ni... nakal tau...” suara gemersik si dara membuatkan dia rasa kenyang. Ya! Kenyang kerana marah!

Atikah tidak dapat bertahan lagi, dia mengambil topinya, cermin mata juga turut dipakai. Duit RM50 diselit di bawah pinggan yang masih lagi tidak terusik makanannya. Ketika dia ingin bangun, tidak semena-mena, air yang di bawa oleh pelayan itu tertumpah pada baju si dara.

”Aucct! Kau!” marah si dara. Dan ketika itulah Atikah memandang si dara. Dan wajah si dara nampak pucat lesi. Ditoreh dengan pisau pasti darahnya enggan mengalir.

“Ya aku!“ bergema suara Atikah. Saat itu juga si teruna bagaikan terpaku. Dia tidak sangka!

“Ika!” serentak suara Shahrizal dan Intan bergabung. Bagaikan mahu menikam jiwanya.

Atikah tidak tunggu lama, dia terus berlalu pergi meninggalkan pasangan itu. Air mata pula seakan tidak mahu sepakat dengan dirinya, dia menangis lagi.

“Ya Allah… kawan yang aku anggap sahabat itu telah mengkhianati aku!!!” jerit Atikah sambil berlari menuju ke biliknya.


Pertemuan enam mata itu telah merungkai segalanya. Intanlah punca semua itu. Intan telah mengirim gambar dia dengan Lutfi. Ketika itu dia hampir jatuh tangga, Lutfi pula ingin naik ke atas. Mujur ada Lutfi menyambut tubuhnya. Jika tidak… pasti dia sudah mencium lantai.

Dia tidak sangka ketika itulah Intan telah mengambil kesempatan untuk menghancurkan cinta mereka. Shahrizal juga mengaku, dia terpaksa berlakon denga mengatakan dia sudah berkahwin. Dia sanggup mengambil gambar di kedai. Semuanya kerana perasaan cemburu butanya itu.

Paling memedihkan perasaan, kenyataan dan pengakuan Intan sendiri. Sungguh di luar jangkaannya! Sanggup Intan membuat fitnah kerana terlalu cemburu atas kejayaan Atikah. Apatah lagi bila melihat kebahagiaan Atikah dengan Shahrizal. Sedangkan dalam diam, dia punya perasaan terpendam terhadap Shahrizal. Gila! Hanya kerana lelaki, Intan sanggup mengkhianati rakan sendiri...

“Ika… abang minta maaf… abang… abang masih sayangkan Ika… abang tak sangka, semua ini fitnah, Ika.” Rayu Shahrizal. Tanpa segan silu, lelaki itu melutut kepada Atikah.

“Maafkan Ika, bang. Memang hati Ika tak dapat melupakan abang lagi, namun Ika sudah nekad, Ika tak mungkin dapat menerima abang buat kali kedua. Ika dah biasa sendirian. Ika tak mahu serabutkan kepala Ika lagi.” Luah Atikah. Biarlah dia hidup tanpa lelaki itu. Dia tidak mahu perasaanya sakit lagi. Cukuplah dia kecewa sekali, tidak mungkin dia akan kecewa buat kali keduanya.

”Ika...” panggil Intan.

”Cukuplah, Intan. Aku rasa semuanya dah berakhir. Tak perlulah kau pujuk aku lagi. Aku dah maafkan engkau, namun nak terima kau macam dulu, aku akan fikirkan kemudian. Buat masa ini, kita buat haluan masing-masing.“ Celah Atikah.

“Ika... takkan tak ada sedikitpun rasa kasih Ika pada abang... hukumlah abang, Ika. Abang sanggup buat apa saja. Abang mahukan Ika kembali... abang cintakan Ika... abang...“ Shahrizal merayu lagi.

“Cukuplah, bang. Terimalah Intan seadanya. Kalian berdua memang sepadan. Jangan harapkan Ika lagi. Ika bahagia dengan hidup Ika. Kita lupakan apa saja memori yang pernah kita kecapi. Semuanya dah berakhir!“ seraya itu Atikah terus meninggalkan mereka berdua.

Lutfi yang sedang menanti Atikah di kereta hanya memerhati gadis itu berlari ke arahnya. Dia turut rasa simpati. Malah lebih dari itu, perasaannya sukar ditafsirkan kini.

“Kau masih ada aku, Ika... aku berjanji akan membahagiakan dirimu. Akanku balut luka hatimu dengan kasih sayangku.“ Gumamnya sendirian.


SEKIAN.....

3 yg best bagi komen:

ainazliena said...

try contest cerpen plak..arap2 ada LUCK..

r|nA @ ja|j|na said...

wow, pajng berjela..

PiNk ButTeRfLy said...

sakitnye hati dengan intan!!!!!!! bodoh punye perempuan, suke2 hati je nak amik bf kawan sendiri.

eh, teremo lak, huhu.. good luck untuk contest ni. =)

Popular Posts